Thursday, January 3, 2008

Pengampu MCA Johor Beri Sokongan

LABIS: Meskipun diselubungi kontroversi adegan ranjangnya bersama ‘teman peribadi’ disebarkan melalui rakaman cakera video digital (DVD), Datuk Seri Dr Chua Soi Lek didakwa masih mendapat sokongan padu ahli MCA Johor.

Timbalan Pengerusinya, Tan Kok Hong, berkata MCA Johor memberi sokongan penuh dan berdiri teguh di belakang Menteri Kesihatan itu selepas membuat pengakuan dialah individu dalam rakaman DVD yang tersebar di sini, sejak beberapa hari lalu itu.

Katanya, rakaman dan penyebaran rakaman itu taktik kotor pihak tertentu yang iri hati dengan rekod Dr Chua sepanjang empat tahun menjadi Ahli Parlimen Labis yang dianggap sudah cukup membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin.

“Dia pemimpin yang disukai dan senang didekati. Parti akan menyokongnya untuk menjadi calon pilihan raya semula. MCA akan terus berdiri teguh di belakang Dr Chua,” katanya yang disambut tepukan gemuruh lebih 150 penyokong dan ahli MCA yang turut serta dalam sidang akhbar Dr Chua di Pejabat MCA Bahagian Labis di sini semalam.

Tan berkata, perbuatan merakam dan menyebar DVD itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia dianggap menceroboh peribadi orang lain.

“Ini taktik kotor politik yang tidak patut dilihat dan dibiarkan. Jangan biarkan ada lagi yang terkena. Ini (perbuatan) menceroboh peribadi orang dan mesti ditegah,” katanya.

Tan berkata, MCA Bahagian Labis di bawah kepemimpinannya menyerahkan kes itu kepada polis dan berharap perkara itu tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Labis, Datuk Sulaiman Taha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang, yakin kes Dr Chua tidak akan menjejaskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin ia tidak akan mengganggu atau menghalang pengundi Labis terus memberi sokongan kepada Dr Chua sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang. Isu itu tidak akan mengganggu dan tidak akan menjejaskan sokongan BN,” katanya.

Katanya, walaupun sedih dengan kejadian itu, pada masa sama beliau melihat keikhlasan Dr Chua apabila tidak menafikan perbuatannya dan tidak menyalahkan sesiapa mengenai kejadian berkenaan.

“Sebagai manusia kita pasti kecewa apabila peribadi kita diganggu, tetapi Dr Chua tidak menafi atau menyalahkan orang lain. Jika ini bermotif politik (penyebaran DVD) inilah hebatnya MCA dan BN,” katanya.

Rujukan : Utusan Malaysia

P/S : Lepas ni JAKIM tak payah nak serbu orang berkhalwat / orang buat seks haram kerana itu adalah mencabuli hak asasi manusia. Begitu ka? Akal depa ni letak kat lutut kot? Polis pun bukan nak tangkap pesalah, tapi nak tangkap pembela rakyat / pemberi maklumat / mereka yang memperjuangkan keadilan tanpa mengira kaum, status dan agama. Ibarat menaiki sebuah keretapi, kalau kepala masuk lorong silap, semua ikut sekali. Ini la yang dikatakan bersatu dalam UMNO. Ketua buat silap, semua turut bela. Akal yang waras letak kat mana tak tau? Ini bukan pasal menceroboh peribadi orang, ini pasal setiap pemimpin adalah moral kepada rakyat. Kalau moral pemimpin di tahap yang 'sangat rendah', rakyat kena tahu dan menilai sendiri tanpa 'hasutan' BN. Tak payah la nak hasut / takutkan rakyat kerana rakyat la ni dah makin pandai.