Wednesday, January 2, 2008

Pengakuan Menteri Kesihatan, Dato Chua Soi Lek

Dr Chua mengaku lelaki dalam video seks

SEGAMAT: "Sayalah orangnya," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) ketika mengaku beliau adalah individu dalam rakaman cakera video digital (DVD) aksi seks seorang lelaki dengan wanita, yang kini tersebar luas di Johor.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah lelaki dalam rakaman itu dan wanita berkenaan adalah kawan saya," kata Dr Chua yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-61 hari ini, pada sidang media khas di pejabat MCA Bahagian Labis, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden MCA dan Ahli Parlimen Labis, kelihatan tenang ketika membacakan kenyataan bertulis dan menjawab soalan wartawan sepanjang sidang media selama kira-kira 20 minit yang turut dihadiri 150 penyokongnya itu.

"Saya tidak membuat sendiri rakaman (DVD) itu. Siapa yang merakamnya tidak penting bagi saya. Apa yang lebih penting ialah keluarga, isteri dan anak-anak sudah menerima permohonan maaf saya," katanya.

Dr Chua menjelaskan, beliau secara peribadi sudah menemui dan memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, mengenai perkara itu kelmarin.

Ditanya apa reaksi mereka, beliau berkata: "Saya sudah sudah jumpa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden MCA... apa reaksinya eloklah kamu sendiri berjumpa dengan mereka kerana saya tidak boleh memberi pandangan mereka terhadap saya".

Beliau turut memohon maaf kepada semua rakan seperjuangan, penyokong dan rakyat Malaysia serta berterima kasih terhadap mereka yang menunjukkan prihatin serta sokongan melalui panggilan telefon dan SMS yang dihantar kepadanya.

Dr Chua yang enggan mendedahkan tarikh dan lokasi rakaman DVD itu dibuat serta identiti pasangannya dalam rakaman berkenaan turut merayu kepada media supaya memberi ruang kepadanya dan keluarga untuk menghadapi tempoh sukar ini.

Katanya, beliau belum memikirkan tindakannya selepas membuat pengakuan itu dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis yang mengumumkan sudah memulakan siasatan mengenainya kelmarin.

"Saya akan fikirkan dan memberi perhatian serius (sama ada mahu membuat laporan polis) mengenainya. Parti juga tidak membuat laporan polis," katanya.

Mengenai masa depan kerjaya politiknya selepas pengakuan itu, Dr Chua berkata beliau enggan membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan kepada ahli parti, pemimpin dan rakyat Malaysia untuk menjadi pengadil.

Ditanya kedudukannya dalam Kabinet, beliau berkata: "Kedudukan saya macam biasa dan semua menteri dalam Kabinet berkhidmat atas kehendak serta kepercayaan Perdana Menteri".

Dr Chua berkata, beliau mendapat tahu mengenai penyebaran rakaman DVD yang mengandungi aksi hubungan seksnya dengan wanita itu pagi Ahad lalu serta sudah menonton sendiri rakaman itu melalui salinan DVD yang diperoleh daripada rakannya.

Menjawab pertanyaan sama ada beliau tahu dalang yang membuat rakaman itu terutama jika ia membabitkan musuh politiknya, Dr Chua berkata, beliau tidak tahu tujuan rakaman itu dibuat dan ia tidak penting baginya.

"Saya tidak akan membuat spekulasi siapa yang menyebarkannya. Itu tidak penting bagi saya," katanya yang enggan mengulas mengenai perasaannya selepas salinan DVD itu tersebar serta meminta media menyiarkan kenyataan bertulisnya.

Mengenai reaksi keluarganya selepas pengakuan itu, Dr Chua berkata isteri dan keluarganya akan membuat kenyataan berasingan tetapi menegaskan mereka semua menyokong beliau dan tidak timbul masalah.

Dr Chua berkata, beliau juga akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa dan kes berkenaan tidak akan mengubah jadual tugasnya sebagai seorang menteri, Ahli Parlimen atau pemimpin parti.

Malah, sidang akhbar itu dibuat selepas beliau selesai menghadiri majlis lawatan rasmi ke Hospital Segamat dan selepas itu, menghadiri majlis perjumpaan bersama masyarakat India di Bekok, Labis.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Umno bahagian Labis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang, Datuk Sulaiman Taha serta Timbalan Ketua Perhubungan MCA Johor yang Adun Bekok, Tan Kok Hong.

PROFIL

Nama : Chua Soi Lek
Lahir: 2 Januari 1947
Asal: Batu Pahat, Johor
Isteri: Datin Seri Wong Sek Win
Anak: Chua Tee Joo, Chua Tee Yong, Chua Tee Ling

Pendidikan:
  • Sekolah Rendah Lim Poon, Johor (1954-1959)
  • Sekolah Menengah Tinggi Batu Pahat (1960-1965)
  • Sekolah Tinggi Muar, Johor (1966-1967)
  • Ijazah Perubatan Universiti Malaya (1968-1973)
Kerjaya:
  • Pegawai Perubatan, Hospital Daerah Batu Pahat (1974-1976)
  • Pengamal perubatan persendirian (1976)
  • Adun Penggaram, (1996-2004)
  • Ahli Majlis Eksekutif Kerajaan Johor (1990)
  • Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Johor (1992)
  • Ahli Majlis Eksekutif Kerajaan Johor (1995)
  • Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Pelancongan Johor (1999-2004)
  • Ahli Parlimen Labis, Johor (2004 hingga kini)
  • Menteri Kesihatan (27 Mac 2004 hingga kini)
Politik:
  • Ketua MCA cawangan Zabedah Timur, Johor (1982)
  • Pengerusi MCA Bahagian Batu Pahat, Johor (1985)
  • Naib Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor (1986)
  • Timbalan Pengerusi MCA Johor (1993)
  • Ahli Jawatankuasa MCA Pusat (2002-2005)
  • Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor (2002)
  • Pengerusi MCA Johor (2003)
  • Ahli Lembaga Disiplin MCA (2004)
  • Ketua MCA Bahagian Batu Pahat (2005)
  • Naib Presiden MCA (2005 hingga kini)
  • Pengerusi Badan Perhubungan MCA Johor (2005 hingga kini)

No comments: