Wednesday, November 21, 2007

Adik VK Lingam beri keterangan

PUTRAJAYA: Adik lelaki peguam terkemuka Datuk V K Lingam semalam memberi keterangan selama hampir tujuh jam kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung pembabitan abangnya dengan kegiatan rasuah membabitkan beberapa bekas ketua hakim negara, hakim kanan, bekas pendakwa raya dan pegawai kanan polis.

V Thirunama Karasu, 49, yang tiba di Ibu Pejabat BPR bersama peguamnya, Wee Choo Keong, kira-kira jam 11.30 pagi, berkata beliau sudah memberikan segala keterangan dan maklumat yang diketahuinya mengenai perkara itu.

Thirunama Karasu yang dikenali sebagai 'Balan' berkata, beliau juga menyerahkan salinan laporan polis yang dibuatnya pada 16 dan 19 Mac lalu.

"Saya bersedia menyerahkan semua bahan bukti kepada BPR dan Suruhanjaya Diraja jika mereka mahu saya berbuat demikian," katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan pejabat BPR kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Ditanya dakwaan Lingam bahawa beliau pernah mengalami gangguan mental, Thirunama Karasu menafikannya. Beliau juga menafikan terbabit dalam rakaman klip video berkenaan.

"Saya adalah manusia normal dan apa yang didakwa abang saya melalui media tidak betul.....oleh itu, saya akan menyaman Lingam," katanya.